Tolak Fitnah PN, Kerajaan MADANI Terus Fokus Bantu Rakyat – Jame Stephen

Aktivis KEADILAN Sarawak Jame Stephen menggesa semua pihak menumpukan usaha memperkasa jentera penerangan dan komunikasi menjelang PRK DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) yang akan bermula Sabtu ini. Foto Arkib
BINTULU, 25 Apr – Kerajaan MADANI hari ini usah gentar dalam melaksanakan dasar yang boleh membuat perubahan positif kepada negara dengan jangkaan peningkatan propaganda dan fitnah daripada Perikatan Nasional (PN) menjelang kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang akan bermula Sabtu ini.
Pendapat itu disuarakan Jame Stephen, aktivis KEADILAN Sarawak yang melihat kerajaan hari ini harus meneruskan segala usaha yang berkaitan dengan pelbagai dasar walaupun dasar tersebut tidak popular kepada kerajaan.
“Dasar-dasar seperti subsidi bersasar yang sememangnya tidak popular dalam kalangan rakyat bakal memberikan impak kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan datang.
“Hasrat kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar akan dilaksanakan pada tahun ini. Bagaimanapun, kaedah pelaksanaan belum lagi diterangkan kepada rakyat,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kerajaan harus menumpukan semaksima mungkin dalam aspek penerangan dan komunikasi dengan rakyat kerana penerangan yang baik dan jelas serta komunikasi yang berkesan bakal memberikan impak yang lebih baik dalam menangkis serangan persepsi dan naratif jahat pembangkang.
“Dalam suasana politik yang berlaku hari ini, pembangkang dilihat ketandusan idea dalam membuat komentar berkenaan dasar ekonomi, mereka lebih banyak mengatakan “rakyat semakin susah kerana kerajaan hari ini” tanpa memberikan fakta yang jelas dan sahih”.
Katanya lagi, “Jika kita lihat pada zaman PN memerintah, harga minyak masak meningkat naik, beras naik, ayam naik dan pelbagai lagi keperluan asas. Masa itu, tiada seorang pun pimpinan PN mengatakan rakyat hari ini susah.
“Oleh yang demikian, kerajaan haruslah bertindak sesegera mungkin untuk menangkis segala persepsi yang dibina oleh pembangkang ketika ini,” jelasnya.
Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun sedaya upaya menyelesaikan isu yang berkaitan terutamanya harga ayam, beras tempatan dan juga harga minyak masak yang kemudiaanya berjaya menurunkan harga tersebut kepada paras harga lebih baik berbanding dengan semasa PN memerintah.
Diminta mengulas berkenaan pimpinan kanan Pas bahawa kerajaan boleh bertukar jika PN menang PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Jame berkata “Sebab itu saya kata, PN terutamanya pimpinan Pas mereka sudah tiada idea untuk berceramah berkenaan dengan dasar kerajaan, sebaliknya propaganda seperti ini sahajalah yang boleh disampaikan kepada penyokong mereka bagi memberi semangat yang ruang untuk menjadi kerajaan masih ada”.
Tambahnya lagi, “Wajah-wajah dan kata-kata dari pimpinan Pas tidak boleh lagi dipercayai, mereka hanya ada pemimpin seperti MB Kedah yang hanya mampu berkaroke untuk meraih sokongan. Kemudian ada juga Anak MB Perlis yang dilaporkan disiasat oleh SPRM kerana tuduhan pemalsuan tuntutan kerja yang tidak wujud”.
“Rakyat seharusnya membuka mata untuk menolak pimpinan Pas yang ada pada hari ini kerana mereka lebih bohong daripada pembohong. Contohnya isu Pesta Songkran di Kedah jelas menunjukkan hipokrasi parti penunggang agama itu,” katanya.
Pada tahun 2019, Pas membantah penganjuran Pesta Songkran yang dikatakan haram tetapi pada tahun ini Pesta Songkran sangat meriah berlaku di negeri tersebut seolah ‘dalil sudah berubah mengikut hawa nafsu pemimpin mereka”.
“Sebab itu saya kata, rakyat semakin lama semakin faham dan tahu akan segala pembohongan yang mereka sampaikan terutamanya penyokong mereka sendiri,” tambahnya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
