Kerajaan Lihat Keperluan Tambah Wanita Isi Jawatan Penting – PM Anwar

Anwar (tengah) bercakap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri PPTD bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 25 Apr – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat keperluan untuk menambah bilangan wanita bagi menjawat jawatan ketua setiausaha (KSU) kementerian dan ketua pengarah (KP).

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah pimpinan wanita sedia ada tidak mencerminkan jumlah keseluruhan 42 peratus golongan itu yang terlibat sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam ketika ini.

“Kalau ditanya, memang tidak cukup. Secara serius, saya memang ada bincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali), kita harus cari jalan supaya pimpinan KSU, KP (daripada golongan wanita) itu bertambah,” katanya dalam sesi soal jawab sempena Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini hari ini.

Anwar (tengah) bercakap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri PPTD bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. Foto Bernama

Sesi yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri oleh Mohd Zuki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Presiden PPTD Datuk Seri Isham Ishak, Presiden Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali dan lebih 2,400 PTD.

Ketika ini, antara pimpinan wanita yang mengisi jawatan penting dalam negara ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin dan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sementara hanya dua wanita yang memegang jawatan KSU iaitu Datuk Maziah Che Yusoff bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Datuk Seri Suriani Ahmad bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *