Tokoh Kemboja Cadang PM Anwar Terima Anugerah Ramon Magsaysay

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi lawatan sulung ke Gedung Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn pada 29 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PHNOM PENH, 11 Ogos – Tokoh keamanan Kemboja, Youk Chhang, menyeru agar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diberikan Anugerah Ramon Magsaysay atas peranannya dalam memeterai gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand baru-baru ini.
Youk Chhang, yang juga Pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja dan penerima Anugerah Ramon Magsaysay 2018, menyatakan bahawa sumbangan Anwar dalam rundingan damai itu lebih sesuai dihargai melalui anugerah berprestij Asia tersebut berbanding Nobel Keamanan.
“Dalam era moden, Nobel Keamanan memang simbol tertinggi pengiktirafan usaha damai, tetapi kuasa global telah berubah. Mungkin Anugerah Ramon Magsaysay lebih sesuai untuk masa kini,” kata Youk.

Beliau menambah bahawa Asia Tenggara, dengan populasi lebih 678 juta orang, merupakan rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia dan paling pesat membangun.
“Anugerah ini lebih relevan untuk mengiktiraf usaha Perdana Menteri Anwar dalam konteks serantau,” katanya.
Cadangan ini muncul selepas Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, mencalonkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk Hadiah Nobel Keamanan 2025 atas peranannya dalam rundingan damai yang dimediasi Malaysia.
Anwar sebelum ini menegaskan bahawa kejayaan rundingan gencatan senjata itu adalah hasil usaha kolektif melibatkan kepimpinan ASEAN, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta kerjasama erat dengan Thailand dan Kemboja.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
