Tok Mat Seru Orang Melayu Bangkit Perangi ‘Politik Toksik’

Tok Mat mengingatkan bahaya politik toksik melanda orang Melayu hingga mampu mencetuskan sengketa hanya kerana pembangkang tamakkan kuasa. Foto Facebook Mohamad Hasan

PENDAPAT, 25 OgosPolitik toksik dan batil sedang melanda landskap politik Melayu pada skala yang luar biasa, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ucapan Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat disahut dengan tepukan gemuruh para perwakilan PAU2024 di Dewan Merdeka – WTCKL.

Kupasan bernas Tok Mat memang tepat pada masanya kerana politik toksik jika tidak dicegah boleh memusnahkan impian rakyat Malaysia untuk hidup harmoni.

Berucap pada majlis perasmian serentak perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, beliau berkata, orang Melayu perlu sedar politik bersandarkan kebencian dan nista hanya menambah perpecahan orang Melayu dan memundurkan politik bangsa itu ke tahap paling rendah.

Inti pati ucapan Tok Mat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di WTC, Kuala Lumpur.

Media sosial, tambahnya, telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini.

BANGKIT MEMERANGI KEROSAKAN

Dengan itu, beliau mahu semua perwakilan bangkit memerangi kerosakan itu dengan akal rasional.

“Pemerhatian saya, politik matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik telah mati di persada politik orang-orang Melayu.

“Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya,” kata beliau lagi.

Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya.

Mohamad turut memberi amaran jika politik melampau tidak dicegah, dikhuatiri akan mencederakan ‘budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat, yang kemuncaknya akan mencetuskan keganasan’.

JADIKAN UMNO KETUMBUKAN POLITIK RASIONAL

“UMNO mesti kembali menjadi ketumbukan politik yang rasional. Kita mesti menjadi armada yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.

“Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal.

“Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah.

“Masa depan UMNO adalah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik ini’,”katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri agar membahas dan meneroka usaha memerangi gejala politik toksik dalam sesi perbahasan PAU2024 kali ini.

“Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya.

Tok Mat menggesa perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri agar membahas dan meneroka usaha memerangi gejala politik toksik dalam sesi perbahasan PAU2024 kali ini. Foto Facebook Mohamad Hasan

“Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, ia mesti diusulkan,” tegasnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *