PM Anwar Tiba Di Bandar Seri Begawan Bagi Hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia-Brunei

Pesawat khas membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini kira-kira jam 9.25 malam waktu tempatan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bandar Seri Begawan bagi memulakan lawatan selama dua hari ke Brunei.

Pesawat khas membawa delegasi Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini kira-kira jam 9.25 malam waktu tempatan.

Ketibaan Anwar disambut Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Dato Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.

Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut beberapa menteri Brunei sebaik selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini kira-kira jam 9.25 malam waktu tempatan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Kehadiran Anwar di sini bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan (ACL) ke-25 antara Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Esok, Perdana Menteri dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan untuk menyaksikan bersama Anwar pemeteraian beberapa instrumen dua hala termasuk yang melibatkan sempadan darat.

Kementerian Luar Malaysia menerusi Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata semasa rundingan ALC ini, Anwar dan Sultan Hasanal Bolkiah akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu-isu yang tertunggak.

“Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi kawalan kehormatan oleh Angkatan Tentera Bersenjata Diraja Brunei sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini kira-kira jam 9.25 malam waktu tempatan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Dalam pada itu, Nur Ezira berkata lawatan Anwar ke Brunei kali ini juga istimewa kerana ia bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan Brunei, selain anggota delegasi Perdana Menteri yang merangkumi menteri dan timbalan menteri yang ramai menunjukkan keakraban hubungan dua negara.

Beliau berkata hubungan erat dua negara ini juga memberikan kelebihan buat Sabah dan Sarawak terutama dari aspek kerjasama ekonomi memandangkan dua negeri Malaysia itu berjiran dengan Brunei.

“Hubungan kerjasama ekonomi terutamanya sangat baik, pada lawatan ini juga akan ada beberapa pengumuman dibuat dan kita doakan semoga ada sesuatu untuk Sabah dan Sarawak nanti,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *