Tinggal ‘Sehelai Sepinggang’, Bengkel Kereta Musnah Terbakar

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat selepas kebakaran dipadamkan pada 2 Ogos 2026.

LAHAD DATU, 2 Ogos – Sebuah bengkel membaiki kereta musnah 100 peratus dalam kebakaran di Min Mekanikal Service, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.41 pagi.

Katanya, seramai 18 anggota dari BBP Lahad Datu bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 7.43 pagi, didapati kebakaran membabitkan sebuah kedai bengkel membaiki kereta jenis kekal berkeluasan kira-kira 30 kaki x 30 kaki.

“Bangunan berkenaan terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumsoa berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.10 pagi sebelum operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan diteruskan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan keadaan di lokasi didapati selamat.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Oleh Hamzah Sanudin

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *