ADUN Negeri Sembilan Diingat Sentiasa Utamakan Kepentingan Rakyat – Tuanku Muhriz

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti pada 2 Ogos 2026. Foto Bernama
KUALA PILAH, 2 Ogos – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan politik mahupun peribadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Baginda bertitah amanah yang dipikul oleh setiap wakil rakyat adalah amat besar kerana mereka bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan serta permasalahan rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
Tuanku Muhriz bertitah setiap dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat hendaklah mencerminkan kepentingan serta sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

