TikTok GAGAL Sekat Kandungan Hina Institusi Diraja, MCMC Tuntut Statutori

MCMC dakwa TikTok gagal menurunkan kandungan bersifat jelek melampau, palsu, mengancam serta melibatkan akaun palsu yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 21 Mei 2026.

CYBERJAYA, 21 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok susulan kegagalannya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat kandungan menghina Institusi Diraja Malaysia.

MCMC dalam kenyataan berkata, tindakan itu dibuat selepas platform berkenaan didakwa gagal menurunkan kandungan bersifat jelek melampau, palsu, mengancam serta melibatkan akaun palsu yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut MCMC, kandungan terbabit turut melibatkan video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi yang dipercayai berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada 21 Mei 2026. Foto MCMC

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan jelek melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun makluman dan libat urus terdahulu telah dilaksanakan, reaksi TikTok dalam menangani kandungan terbabit didapati tidak memuaskan.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada 21 Mei 2026. Foto MCMC

Katanya, kegagalan itu termasuk tidak memastikan kandungan berkenaan diturunkan segera selain gagal menghalang penyebaran lanjut bahan memudaratkan tersebut.

“MCMC menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.

“TikTok juga dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform,” jelasnya.

Kenyataan media Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 21 Mei 2026. Foto Selangor Royal Office

Tambahnya, TikTok turut diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan berkenaan.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan akan terus mengambil tindakan kawal selia dan perundangan yang perlu terhadap mana-mana penyalahgunaan platform digital yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *