Perpecahan Umat Islam Dibimbangi Boleh Melemahkan Bangsa – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Tengku Zafrul pada 20 Mei 2026. Foto Tengku Zafrul

SHAH ALAM, 21 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap perpecahan dan pertelingkahan dalam kalangan orang Melayu serta umat Islam yang disifatkan mampu melemahkan bangsa jika tidak dihentikan segera.

Baginda bertitah, perpecahan berterusan khususnya membabitkan pemimpin politik dan rakyat hanya akan menyebabkan orang Melayu dan umat Islam menjadi lemah serta membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan.

“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah. Beta juga perhatikan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.

“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi titah sama, baginda menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini.

Titah Sultan Selangor, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati.

Kenyataan media Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 21 Mei 2026. Foto Selangor Royal Office

“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat-menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.

“Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar mengambil teladan daripada perayaan Aidiladha yang mengajar umat Islam mengenai erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah.

Titah baginda, ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam.

Pada masa sama, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat di Selangor.

Baginda berdua turut mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah mereka, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *