Tiada Kerjasama Dengan Pakatan Harapan – Bersatu

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bersatu kelihatan menyambut keputusan PAS untuk meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dengan berikrar untuk memperkukuhkan lagi gabungan berkenaan.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata partinya itu akan memberi tumpuan penuh kepada usaha menguatkan lagi PN yang kini dianggotai bersama oleh Gerakan, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Selaras dengan konsep demokrasi dan kebebasan untuk rakyat memilih, tambah penyandang kersui parlimen Pagoh itu lagi, Bersatu bersedia untuk menghadapi persaingan pelbagai penjuru dalam PRU akan datang.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN menambah Bersatu juga membuat keputusan muktamad menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Bersatu juga mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu,” katanya hari ini.
PH sebelum ini telah menolak sebarang kerjasama dengan PN termasuk Bersatu dalam keputusan mesyuarat Majlis Presiden dan tidak timbul isu sekarang kononnya Bersatu tidak akan mengadakan kerjasama dengan PH.
