Gelombang Varian Baharu Covid-19 Meningkat Di Singapura

SINGAPURA, 15 Okt – Gelombang terkini jangkitan COVID-19 didorong subvarian XBB dijangka mencecah sekitar 15,000 kes sehari sekitar pertengahan bulan depan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Jangkaan berdasarkan gelombang masa lalu itu bagaimanapun menunjukkan Singapura mempunyai kapasiti penjagaan kesihatan mencukupi untuk menangani lonjakan kes coronavirus

MOH memaklumkan, hospital awam di sini sudah pun melaksanakan pelbagai langkah, seperti menangguh kemasukan pesakit yang bukan kecemasan, untuk menawarkan lagi 200 katil jagaan bagi pesakit COVID-19.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata dalam dua minggu mendatang, hospital awam akan beroperasi dengan lebih 800 katil diperuntukkan untuk pesakit COVID-19, kata kementerian itu.

“Kapasiti di kemudahan rawatan COVID-19 juga akan dipertingkat secara bertahap untuk menyediakan lebih daripada 800 katil menjelang bulan depan.

“Kemungkinan ini adalah gelombang dengan lonjakan tinggi yang singkat didorong XBB,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Sementara itu, tiada seorang pun pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di sini yang dijangkiti virus XBB varian Omicron didapati mendorong kenaikan angka kes di Singapura dan negara lain.

Meskipun subvarian XBB ini mudah menular, Pengarah Khidmat Perubatan MOH, Prof Madya Dr Kenneth Mak, berkata ia mungkin kurang berbahaya berbanding gelombang virus sebelum ini.

Ini, kata beliau adalah ‘apa yang diharapkan mereka’.


“Sekiranya kita mempunyai varian yang ‘saling bersaing’ dengan varian lain, tapi menyumbang kepada jangkitan yang kurang serius… ini bermakna ia akan mengurangkan beban ke atas sumber hospital,” katanya.

Subvarian XBB membentuk sekitar 54 peratus daripada kes-kes setempat semasa minggu antara 3 Oktober hingga 9 Oktober.

Sementara itu, mereka yang belum pernah dijangkiti COVID-19 atau yang pernah dijangkiti penyakit itu sebelum gelombang Delta di Singapura pada tahun lalu, lebih berkemungkinan dijangkiti virus XBB varian Omicron.

Angka terkini MOH menunjukkan kadar risiko jangkitan bagi mereka yang belum pernah dijangkiti COVID-19, adalah lebih tinggi berbanding kumpulan lain.

Kadar risiko jangkitan bagi mereka yang belum dijangkiti adalah 162.5 jangkitan bagi setiap 100,000 orang sehari antara 8 Oktober dan 14 Oktober.

Ini berbanding 147.4 jangkitan bagi setiap 100,000 orang sehari bagi yang pernah dijangkiti COVID-19 sebelum gelombang Delta di sini.

– AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *