Tiada Keperluan Kerajaan Tawar Projek Untuk Dapat Sokongan – Fahmi

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan kononnya kerajaan memberi projek kepada ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) bagi meraih sokongan. Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan sebarang projek kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan seperti yang didakwa dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 Ahli Parlimen.
Untuk rekod, kerajaan memiliki 147 sokongan dan dua ahli parlimen PN yang menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri ialah ahli parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain dan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman menjadikannya 149.
“Malah Perdana Menteri telah jelaskan di Parlimen bahawa beliau langsung tidak bertemu dengan dua Ahli Parlimen PN yang telah umum sokongan kepada beliau baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada RTM pada Jumaat.

Media hari ini melaporkan Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, kedua-duanya daripada PN mendakwa ditawarkan projek di kawasan Parlimen mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.
Mereka mendakwa dihubungi menerusi emel namun tidak membuktikan dakwaan siapa yang menawarkan projek seperti didakwa yang menyebabkan ia menjadi fitnah semata-mata.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
