TERKINI: Ruang Udara Iran Dibuka Semula Selepas Ditutup Lima Jam

Para penduduk Tehran menjalani kehidupan biasa sekitar Enghelab Square biarpun ruang udara negara itu ditutup selama lima jam sebelum dibuka pada pagi 15 Januari 2026. Foto AFP

TEHRAN, 15 Jan – Iran membuka semula ruang udaranya selepas penutupan hampir lima jam di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang memaksa syarikat penerbangan membatalkan, mengubah laluan atau menangguhkan beberapa penerbangan.

Pemtadbiran Tehran menutup ruang udaranya kepada semua penerbangan kecuali penerbangan antarabangsa ke dan dari Iran dengan kebenaran rasmi pada 5.15 petang Waktu Timur atau ET (2215 GMT) pada Rabu, menurut notis di laman web Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS.

Notis itu dialih keluar sejurus sebelum 10 malam ET, atau 0300 GMT, menurut perkhidmatan pengesanan Flightradar24, yang menunjukkan lima penerbangan dari syarikat penerbangan Iran Mahan Air, Yazd Airways dan AVA Airlines adalah antara yang pertama disambung semula di seluruh negara.

Beberapa penerbangan domestik Iran kembali pulih dalam tempoh lim jam selepas penutupan penuh ruang udara kepada penerbangan antarabangsa pada 14 Januari 2026. Foto Flightradar24

Pada masa yang sama minggu lalu dengan penutupan ruang udara, terdapat berpuluh-puluh pesawat di udara di Iran, menurut Flightradar24.

Penutupan sementara itu berlaku ketika Presiden Donald Trump mempertimbangkan tindak balas terhadap situasi di Iran, yang menyaksikan protes antikerajaan terbesarnya sejak beberapa tahun lalu.

Terdahulu pada lewat Rabu, Iran menutup ruang udaranya buat sementara waktu untuk kebanyakan penerbangan, memaksa syarikat penerbangan membatalkan, mengubah laluan atau menangguhkan beberapa penerbangan, di tengah-tengah kebimbangan tentang kemungkinan tindakan ketenteraan antara AS dan Iran.

Pesawat Al Arabiya dari Moscow ke Sharjah melintasi ruang udara Iran selepas penutupan ruang udara ditarik balik pada 15 Januari 2026. Foto Flightradar24

Serangan peluru berpandu dan dron di zon konflik yang semakin meningkat mewakili risiko tinggi kepada trafik syarikat penerbangan.

Syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo berkata, beberapa penerbangan antarabangsanya akan terjejas oleh penutupan ruang udara Iran secara tiba-tiba pada Rabu.

Air India berkata, penerbangannya menggunakan laluan alternatif yang boleh mengakibatkan kelewatan atau pembatalan.

Satu penerbangan oleh Aeroflot Rusia yang menuju ke Tehran kembali ke Moscow selepas penutupan pada Rabu itu, menurut data Flightradar24.

Jerman pada Rabu juga mengeluarkan arahan baharu yang memberi amaran kepada syarikat penerbangan negara itu daripada memasuki ruang udara Iran, sejurus selepas Lufthansa mengubah operasi penerbangannya di seluruh Timur Tengah di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau ini.

AS sudah melarang semua penerbangan komersial AS daripada terbang melepasi Iran.

Pengendali syarikat penerbangan seperti flydubai dan Turkish Airlines membatalkan beberapa penerbangan ke Iran sejak seminggu lalu.

Untuk rekod, sebuah pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh oleh tentera Iran pada 2020, membunuh kesemua 176 penumpang dan anak kapal.

Lufthansa pada Rabu berkata ia akan mengelak ruang udara Iran dan Iraq sehingga diberitahu kelak manakala ia hanya akan mengendalikan penerbangan siang ke Tel Aviv dan Amman dari Rabu hingga Isnin minggu depan supaya anak kapal tidak perlu bermalam.

Beberapa penerbangan juga mungkin dibatalkan akibat tindakan ini, tambahnya dalam satu kenyataan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *