TERKINI – PRK DUN Nenggiri Ditetap Pada 17 Ogos

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan. Foto SPR

PUTRAJAYA, 28 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada Khamis, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim gagal untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa, Ahli Parlimen Gua Musang ini tidak berdepan kesulitan jika PRK dijalankan semula.

Beliau berkata, ini kerana ahli politik terbabit masih berpeluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya terbabit.

Ketika prosiding yang dibuat secara tertutup, Pesuruhjaya Kehakiman itu berkata, injunksi sementara tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan tugas mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM7,000 bagi setiap defendan.

Pada 24 Jun lalu, Mohd Azizi mengemukakan saman pemula bagi menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan.

Mohd Azizi yang juga bekas Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, memfailkan saman itu melalui Tetuan Shankar Govinth, dengan memohon perisytiharan bahawa DUN itu tidak kosong maka PRK bagi kerusi terbabit tidak boleh dijalankan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *