Cikgu Joohari Tidur Tiga Jam Sehari Tumpu Kempen PRK Sungai Bakap

Biarpun mungkin berbeza pandangan politik namun Cikgu Joohari tidak melupakan penyokong Perikatan Nasional (PN) setiap kali turun padang berkempen. Foto Facebook Dr. Joohari Ariffin

NIBONG TEBAL, 28 Jun – Meskipun tidur hanya tiga jam sehari sepanjang kempen, Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap tetap bersemangat turun ke lapangan bertemu pengundi.

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang mesra disapa Cikgu Joohari itu memberitahu, penerimaan pengundi yang ditemui sepanjang tujuh hari berkempen sangat positif.

“Saya bersyukur sepanjang (tujuh hari kempen) tiada (pengundi) yang menolak (kehadiran saya) tetapi semua mengatakan sokongan dan mereka selalu sebut ‘Cikgu Joohari nombor satu’…Itulah yang menarik semangat saya,” katanya.

Lebih mengujakan, pengundi di Sungai Bakap yang ditemui mengetahui kedudukan undi calon bertanding apabila melaungkan ‘Cikgu Joohari nombor satu’ yang ia amat bermakna.

Menurut Joohari, beliau menghadiri kira-kira 12 program sehari yang diatur dan disusun jenteranya sepanjang tempoh berkempen.

Cikgu Joohari giat turun padang berkempen walaupun cuma tidur tiga jam sehari. Foto Facebook Dr. Joohari Ariffin

“Ini baru jadual pada hari bekerja dan dijangka akan bertambah pada hujung minggu ini dan saya akan pastikan untuk bertemu semua pengundi sebelum kempen berakhir.

“Saya mengamalkan mengambil suplemen untuk menjaga stamina dan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai permintaan pengundi yang mahukan wakil rakyat kerap turun padang selepas PRK, Joohari berkata, permintaan itu rasional dan ia juga adalah iltizam dirinya.

“Betullah (perlu turun padang) kita jadi wakil mereka…bukan kita diangkat untuk singgah sana sini sebaliknya kena turun ke bawah (temui pengundi) dan itu juga iltizam saya sebenarnya,” katanya.

_ Oleh Nur Izzati Mohamad


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *