TERKINI: Najib Didapati Bersalah Guna Kedudukan Untuk Suapan RM2.3 Bilion

Najib menghadapi pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak perbicaraan bermula pada 2018 hingga 26 Disember 2025.
PUTRJAYA, 26 Dis – Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak disabitkan dengan tuduhan kedua menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak mula dibicarakan pada 20 September 2018.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini membacakan keputusan berkenaan pada kira-kira jam 9.20 pagi namun berehat tengah hari dan berakhir sebentar tadi.
Hakim membuat keputusan mensabitkan Najib atas tuduhan itu selepas mendapati pembelaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk suapan RM60,629,839.43 sementara pertuduhan kedua, beliau didapati bersalah atas tuduhan menggunakan kedudukan bagi suapan RM90,099,927.28.
Terdahulu di perkarangan Istana Kehakiman, kelihatan para penyokong Najib melaungkan ‘Bebas Bosku’ sebaik melihat kenderaan Jabatan Penjara Malaysia memasuki laluan ke mahkamah kira-kira jam 8.25 pagi.

Beliau dilihat menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak dengan diiringi beberapa kenderaan lain sebagai langkah keselamatan.
Turut kelihatan ialah Presiden MCA, Wee Ka Siong dan beberapa pemimpin Umno selain ahli keluarga bekas ahli parlimen Pekan itu.
Untuk rekod, bagi empat kes rasuah, Najib yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Bagi 21 kes AMLA pula, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Difahamkan pihak pembelaan masih boleh merayu terhadap keputusan berkenaan, di dua lagi peringkat iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Seramai 50 saksi dipanggil dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang berlangsung selama 235 hari, berakhir pada 30 Mei 2024 lalu.

Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan 26 saksi pembelaan yang mengambil masa selama 58 hari.
Perbicaraan kes berprofil tinggi itu telah mengambil masa selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.
Saksi pendakwaan yang hadir dalam prosiding ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Sementara saksi utama yang memberi keterangan di peringkat pembelaan ialah Najib sendiri termasuk bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pihak pendakwaan pada awalnya diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebelum pemergiannya pada Januari 2023.
Kes itu kemudiannya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Bagi pembelaan, selain Muhammad Shafee, Najib turut diwakili peguam Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Mengikut pertuduhan, bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
