TERKINI: Malaysia Hadkan Jualan Minyak Kepada Kenderaan Thailand Di Sempadan

Barisan panjang kenderaan hampir satu kilometer di sebuah stesen minyak di daerah Mueang, Chai Nat ekoran kerajaan Thailand menghadkan pembelian petrol dan diesel pada 17 Mac 2026. Foto Khaosod English
YALA, 18 Mac – Pihak berkuasa Malaysia mengehadkan pembelian minyak kepada kenderaan Thailand dengan hanya membenarkan pengisian minyak sebanyak RM35 setiap kali isi di stesen minyak berhampiran sempadan.
Menurut laporan agensi berita Thai Enquirer, langkah itu diambil susulan peningkatan mendadak permintaan akibat kebimbangan terhadap bekalan minyak global berkait konflik di Asia Barat.
Di Betong, Yala, stesen minyak dilaporkan sesak dengan barisan panjang.

Beberapa stesen mengalami kekurangan sementara, dengan ada yang memaparkan tanda ‘diesel habis’ dan ada yang memendekkan waktu operasi dari 12 tengah hari hingga 6 petang sementara menunggu bekalan baharu.
Sebahagian stesen minyak turut mengehadkan pembelian kepada 1,000 baht (RM118.07) bagi setiap pelanggan untuk mengawal permintaan.
Barisan kenderaan dilaporkan sesak hingga ke jalan berhampiran, manakala ada penduduk membawa tong besar untuk menyimpan minyak bagi kegunaan pertanian dan pengangkutan.

Harga minyak di Malaysia yang lebih murah mendorong rakyat Thailand mengisi minyak di sini. Diesel dijual sekitar RM2.15 seliter (18 baht), RON95 RM1.99 (kira-kira 16 baht) dan RON97 RM4.55 (kira-kira 37 baht).
Pihak berkuasa Malaysia memaklumkan sekatan ini juga bertujuan membanteras penyeludupan minyak ke Thailand.
Di Kelantan, pihak berkuasa telah menahan 46 suspek dan merampas 75 kenderaan yang diubah suai untuk menyeludup minyak.
Kenderaan berkenaan kebanyakannya model Proton Wira dan Proton Iswara, diubah suai dengan tangki minyak tambahan atau lebih besar di bahagian but atau bawah tempat duduk belakang untuk membawa minyak ke lokasi transit sebelum diseludup ke seberang sempadan.
Pihak berkuasa turut memantau 48 stesen minyak berhampiran sempadan Thailand di Kelantan, dengan kira-kira separuh daripadanya terletak dalam radius 25 kilometer (km).
Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia memberi amaran bahawa kenderaan Thailand tanpa Permit Pergerakan Antarabangsa (ICP) yang dikesan lebih dua kilometer dari pintu masuk sempadan akan disita.
Kekurangan bahan api turut menimbulkan kebimbangan di sebuah hospital di daerah Khon Buri, Thailand, apabila mereka terpaksa mencari diesel bagi memastikan penjana kuasa dapat berfungsi untuk rawatan penting.
Juruelektrik Hospital Khon Buri, Julaporn Ratchatok, berkata dia ditugaskan mencari dan membeli diesel mencukupi untuk mengisi tiga penjana kuasa serta menyediakan simpanan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
“Ribut musim panas biasanya berlaku pada waktu ini dan boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
“Jika kami tidak bersedia, kakitangan perubatan dan pesakit di hospital akan terjejas,” katanya menurut laporan agensi berita Bangkok Post.
Menurut Julaporn, dia terpaksa menaiki ambulans untuk meninjau stesen minyak di seluruh daerah sebelum sebuah stesen Bangchak di Don Krud bersetuju membekalkan 460 liter diesel kepada hospital.
Katanya, stesen minyak itu mengehadkan pembelian pengguna lain kepada maksimum 300 baht (RM33.69) setiap seorang.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mendapatkan bahan api bagi menjana elektrik di hospital,” katanya. – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


