TERKINI: Kenderaan Komander AKPS Ditembak Dekat Sempadan Bukit Kayu Hitam

Polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap Proton X70 yang digunakan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam , Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dalam kejadian tembakan pagi 25 Februari 2026.
ALOR SETAR, 25 Feb – Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, ditembak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata Mohd Nasarudin terselamat dalam kejadian itu dan difahamkan berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
Pihaknya kini menjalankan siasatan terpeinci mengenai insiden berkenaan dan difahamkan ini merupakan kali pertama kenderaan dinaiki pegawai AKPS diserang secara terbuka terutama di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Maklumat lanjut mendapati insiden berkenaan berlaku ketika Mohd Nasarudin ingin ke masjid jam 5.40 pagi dipercayai untuk menakut-menakutkan pegawai penguat kuasa.
Adzli berkata, pihaknya percaya motif kejadian itu kerana ada individu yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa sama ada AKPS dan polis yang banyak melakar kejayaan rampasan.
Menurutnya, bulan lalu AKPS berjaya merampas daging khinzir yang cuba diseludup dan rampasan lain menyebabkan ada kemungkinan pihak yang tidak berpuas hati.
“Jadi motif kejadian setakat ini untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun kejadian ini tidak akan mematahkan semangat semua pegawai penguat kuasa untuk terus menjalankan tugas dan membanteras penyeludupan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu ketika melepaskan tembakan.
“Ketika kejadian itu beliau (Komander AKPS Bukit Kayu Hitam) dalam perjalanan ke masjid yang terletak satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan.
“Beliau cuba mengejar dua lelaki menaiki motosikal namun gagal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian pegawainya diserang dua lelaki dan memberitahu beliau dalam perjalanan ke sana.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


