TERKINI – Anwar Sah Ke Tambun Lawan Timbalan Presiden Bersatu

IPOH, 20 Okt – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan khabar angin mengatakan beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini, selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018.
Keputusan Presiden KEADILAN itu untuk bertanding di Parlimen Tambun menyaksikan beliau mungkin bertembung dengan penyandang, Ahmad Faizal Azumu, jika Timbalan Presiden BERSATU itu mempertahan kerusi berkenaan pada PRU15.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo KEADILAN, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.
Namun kali ini, Ahmad Faizal berdepan tugas sukar mempertahankan kubunya apabila Anwar menggerakkan jentera pilihan raya PH ke tahap maksimum dan berkemungkinan menjadi Perdana Menteri ke-10 dan yang pertama dari parlimen di Perak.
