Penternak New Zealand Bantah Cukai ‘Sendawa Dan Kentut’

WELLINGTON, 20 Okt – Penternak di New Zealand hari ini menutup ladang dan membanjiri jalan raya di beberapa bandar negara itu bagi membantah cadangan mengenakan cukai pelepasan gas rumah hijau daripada haiwan ternakan.
Konvoi traktor, 4×4 dan kenderaan ladang menyebabkan kesesakan lalu lintas di Wellington, Auckland dan hab utama lain apabila penunjuk perasaan menuntut kerajaan berhaluan tengah membatalkan rancangan mengenakan cukai ‘sendawa dan kentut’ haiwan.
Awal bulan ini, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan bakal memperkenalkan levi pertama seumpamanya di dunia ke atas pelepasan metana dan nitrus oksida yang dihasilkan enam juta lembu dan 26 juta biri-biri di negara itu sebagai langkahmenangani perubahan iklim.
Ribuan penternak hari ini berkumpul dengan memegang sepanduk yang menyifatkan dasar itu sebagai ‘usuk’ selain memberi amaran cukai berkenaan bakal mengakibatkan harga makanan lebih mahal dan turut memberi risiko kepada punca pendapatan mereka.
“Kebanyakan penternak sudah cukup terkesan. Semakin sukar untuk meneruskan aktiviti ternakan dalam keadaan kerajaan sekarang tidak benar-benar memberi sokongan kepada kami,” kata seorang penunjuk perasaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chris.

Ternakan menghasilkan metana dan nitrus oksida sebagai hasil sampingan apabila mengunyah rumput dan makanan.
Kumpulan saintis percaya metana menyumbang kira-kira 30 peratus daripada kenaikan suhu global walaupun ia sebahagian kecil daripada campuran gas rumah hijau.
Ardern mempertahankan rancangannya itu bagi mencapai sasaran iklim, malah jelasnya, ia boleh memberi manfaat kepada penternak jika mereka boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi untuk daging bersifat mesra iklim.
“Kami sedang berunding dengan kumpulan penternak dan pengeluar makanan mengenai reka bentuk yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Auckland.
Untuk rekod, New Zealand berikrar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan memacu negara itu ke arah neutral karbon menjelang 2050.
– AFP
