‘Terima Kasih PMX, Jambatan Sudah Siap’

Penduduk di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila jambatan baharu menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Januari lalu telah siap sepenuhnya. Foto Hazelen Liana Kamarudin
KOTA BHARU, 15 Mac – Para penduduk menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana jambatan keluli Sungai Chatel Damai di Kampung Chatel, Lata Rek, Kelantan yang siap dibina baru-baru ini menoktahkan kesukaran pergerakan penduduk kawasan di kawasan itu sejak lebih tiga dekad.
Wan Syukri Wan Isa, 54, berkata, mereka di sini sangat gembira dan melahirkan rasa syukur selepas hampir tiga dekad menggunakan titi gantung uzur itu sehingga meninggalkan trauma kepada sesetengah penduduk.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kami sudah lama mengidamkan jambatan baharu,” ujarnya.

Menurut Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembinaan jambatan itu, yang bermula pada 29 Januari lepas, berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh enam minggu, iaitu pada 11 Mac.
Kenyataan itu menyebut projek strategik berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Kerajaan MADANI membuktikan tekad membina masa depan rakyat melalui penyempurnaan jambatan keluli Sungai Chatel Damai sekali gus menoktahkan rintihan penduduk yang terbelenggu masalah perhubungan sejak tiga dekad.
“Projek strategik ini merupakan manifestasi jelas agenda Ihsan dan Keadilan Sosial dalam memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pemodenan negara, menerusi penyerahan rasmi kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) hari ini,” menurut kenyataan itu.
ICU JPM memaklumkan dengan adanya jambatan yang lebih kukuh, keselamatan dan urusan ekonomi penduduk kini lebih terjamin serta berjalan lancar.

Kenyataan itu memaklumkan kemudahan berkenaan terhasil susulan tindakan pantas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan unit berkenaan melalui ICU JPM Kelantan pada 2 Jan lepas untuk merealisasikan projek tersebut.
“Inilah bukti Kerajaan MADANI sentiasa bekerja keras mengutamakan kesejahteraan rakyat di luar bandar… projek pantas ini membuktikan komitmen dan dedikasi tinggi ICU JPM Negeri Kelantan dalam merealisasikan hasrat Perdana Menteri agar infrastruktur penting ini dapat digunakan oleh rakyat sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Jambatan baharu itu berukuran 36 meter panjang dan tiga meter lebar serta mampu menampung kenderaan berat sehingga lima tan sekali gus membolehkan laluan kereta dan lori ringan berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada motosikal serta basikal.

Menurut ICU JPM, kejayaan projek itu membuktikan penyediaan infrastruktur berkualiti menjadi kunci utama kepada kesejahteraan hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

