’Terima Kasih Atas Keangkuhan Itu’

ADUN Pending, Violet Yong memuat naik gambar di Facebook menunjukkan beliau memegang gambar tisu jenama Premier bagi menyindir penjenamaan semula jawatan ketua menteri kepada premier beberapa tahun lalu. Foto Facebook Violet Yong
KUCHING, 27 Jul – Keangkuhan kenyataan seorang bertaraf Ketua Menteri kononnya secara berseloroh mendakwa DAP dan PKR ‘tidak wujud’ di negeri itu lantaran dominasi kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibidas seorang Adun DAP.
Adun Pending empat penggal, Violet Yong berkata kenyataan Pengerusi GPS itu tidak menghormati hak demokrasi rakyat Sarawak yang mengundi DAP dan PKR pada masa lalu.
“Itu adalah kenyataan angkuh Abang Jo yang langsung tidak wajar dikeluarkan,” kata setiausaha penganjur DAP Sarawak itu.
Yong, seorang daripada dua Adun DAP di Sarawak, turut menyelar kerajaan negeri GPS yang memerintah kerana tidak menyediakan peruntukan untuk transformasi dan projek kecil luar bandar kepada wakil rakyat pembangkang.
“Ia adalah contoh yang jelas apabila GPS hanya mementingkan dirinya sendiri,” katanya.
Isu berkenaan timbul apabila Abang Johari membuat ‘sindiran’ itu semasa episod terbaharu audio siar (podcast) Keluar Sekejap baru-baru ini.
Menjawab soalan Khairy Jamaluddin, Premier Sarawak itu turut mengesahkan bahawa GPS berhasrat bertanding di semua 82 kerusi pada PRN Sarawak akan datang.
Abang Johari melahirkan keyakinan bahawa keputusan GPS tidak akan menjejaskan hubungan dengan DAP dan PKR kerana politik persekutuan dan negeri adalah perkara yang berasingan.
Beliau berkata, pertikaian mengenai peruntukan kerusi hanya akan timbul jika mereka (PKR dan DAP) mahu bertembung.
Apabila Khairy menjawab dengan mengatakan bahawa DAP dan PKR tidak akan wujud di Sarawak melainkan mereka bertembung dengan GPS, Abang Johari membalas: Sekarang pun ‘tak wujud’.
Sementara itu, pemimpin PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata beliau menghargai kenyataan Abang Johari dan secara peribadi melihatnya sebagai satu cabaran untuk membuktikan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu tidak tepat.
Senator itu berkata, beliau difahamkan Abang Johari, sebagai pengerusi GPS, perlu membuat kenyataan sedemikian demi orang ramai untuk mendapatkan merit politik.
“Sama ada benar atau tidak, terpulang kepada rakyat Sarawak untuk menilai,” kata ahli jawatankuasa pusat PKR itu.
Tidak perlu berlebih-lebihan terhadap kenyataannya, katanya sambil menambah bahawa sokongan berterusan Abang Jo kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan adalah yang paling penting.
“Saya berterima kasih kepadanya atas kenyataan itu kerana ia adalah peringatan untuk saya. Saya harap GPS atau Abang Jo tidak akan menyalahkan kita jika dapat menunjukkan kepadanya bahawa kita sebenarnya wujud di Sarawak,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



