PM Anwar Utus Salam Takziah Kepada Keluarga Dr. Siti Zaharah Sulaiman

Menerusi hantaran di media sosial Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berduka dan mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan selain diampunkan segala dosa almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan salam takziah kepada keluarga bekas Menteri Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang dilaporkan telah meninggal dunia malam tadi.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar mengimbau kembali hubungan beliau dengan almarhumah yang merupakan sahabat baik semasa berada dalam UMNO tatkala mengemudi sayap wanita parti itu serta gigih dalam perjuangan semasa hayatnya.

“Almarhumah merupakan sahabat dekat saya sewaktu bersama di dalam UMNO tatkala mengemudi sayap Wanita UMNO, dan merupakan pemimpin yang cekap, komited dan gigih dalam perjuangan.

Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman meninggal dunia pada jam 11.23 malam tadi. Foto Bernama

“Saya turut berduka dan mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan selain diampunkan segala dosa almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” ujar Anwar.

Terdahulu media melaporkan almarhumah meninggal dunia pada jam 11.23 malam tadi di Hospital Serdang, Selangor akibat kanser hati.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Samsuddin di laman Facebooknya.

Allahyarham merupakan bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, berusia 75 tahun.

Dilahirkan pada 24 April 1949, ibu kepada empat cahaya mata itu memenangi kerusi Parlimen Mentakab, Pahang ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-7 pada 1986 sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRU8 (1990).

Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Parlimen Paya Besar selama tiga penggal pada PRU9 (1995), PRU10 (1999) dan PRU11 (2004).

Bekas Menteri Dr. Siti Zaharah Sulaiman Meninggal Dunia

Selain itu, Siti Zaharah yang berkelulusan Doktor Falsafah (Pengajian Pentadbiran Pendidikan dan Organisasi) Universiti Cornell New York, Amerika Syarikat menjadi pemimpin wanita UMNO pertama dari Pahang yang dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada pemilihan parti 1987.

Beliau juga pernah mengemudi Wanita UMNO selama tiga tahun bermula 1996 selepas membuat kejutan menewaskan penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz dengan kelebihan hanya 27 undi pada pemilihan parti.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *