Tentera Thai Putus Kaki Terpijak Periuk Api Ditanam Jauh Dalam Tanah

Anggota tentera Thai dibawa ke hospital selepas kaki putus akibat terpijak periuk api pada 27 Februari 2026. Foto Thai Enquirier
BANGKOK, 27 Feb – Seorang tentera Thai hari ini putus kaki akibat letupan periuk api di sempadan negara yang menjadi pertikaian dengan Kemboja, di mana gencatan senjata sedang berkuat kuasa selepas pertempuran rentas sempadan selama beberapa bulan, kata tentera Thailand.
“Seorang tentera parah dan hilang kaki kanannya selepas terpijak periuk api,” kata tentera Thailand dalam satu kenyataan, sambil menambah insiden berlaku waktu subuh di wilayah sempadan Surin.
Bagaimanapun, menurutnya, ‘pemeriksaan awal’ menunjukkan periuk api terbabit tertanam jauh dalam tanah liat dan ditutup dengan daun, menunjukkan ia ‘bukan baru ditanam’.

Sempadan Kemboja dipenuhi dengan bahan letupan belum meletup yang berasal dari konflik berasingan sejak beberapa dekad lalu.
Di bawah persetujuan gencatan senjata pada Disember 2025, Kemboja dan Thailand berjanji menghentikan tembakan, membekukan pergerakan tentera dan bekerjasama membersihkan periuk api di sepanjang sempadan.
Sejak musim panas tahun lalu, berpuluh-puluh orang terbunuh dalam konflik di sempadan. Isu itu menjadi pertikaian lebih satu abad sejak persempadanan kedua-dua negara dilakar semasa era penjajahan Perancis.
Lebih sejuta orang awam dipindahkan di sepanjang sempadan Thai-Kemboja sepanjang 800 kilometer semasa kemuncak pertempuran pada Julai hingga Disember 2025, sebelum gencatan senjata sementara berkuat kuasa. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

