PM Anwar Doakan Agong Dikurniakan Keafiatan Berpanjangan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 24 Februari 2026 berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dikurniakan keafiatan berpanjangan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mendoakan Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan inayah Allah S.W.T
“Mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dikurniakan keafiatan berpanjangan serta terus sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan inayah Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media hari ini melaporkan, Sultan Ibrahim sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal yang melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.
Memetik kenyataan Istana Negara, doktor menasihatkan Sultan Ibrahim supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan
“Disebabkan Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani rawatan susulan, Seri Paduka Baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara kelmarin,” kata Istana Negara.
Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi selepas kesihatan baginda beransur pulih.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
