Tentera Sudan Tangguh Rundingan Gencatan Senjata

Ketua Tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan bersama anggota tentera di Khartoum - Foto AFP
KHARTOUM, 31 Mei – Tentera Sudan bertindak menangguhkan pembabitannya dalam rundingan gencatan senjata bersama pihak lawan, Pasukan Tindakan Pantas (RSF).
Seorang pegawai kerajaan Sudan yang mengesahkan perkara itu kepada AFP berkata, Amerika Syarikat dan Arab Saudi menjadi perantara bagi rundingan terbabit.
Beliau yang enggan dikenali berkata, pihak tentera mengambil keputusan itu kerana berasakan kumpulan pemberontak terbabit tidak akan menghormati gencatan senjata berikutan sudah beberapa kali melanggar pendekatan berkenaan termasuk di hospital dan bangunan kediaman sebelum ini.
Sebelum ini, AS dan Arab Saudi menyatakan bahawa tentera dan pasukan separa tentera, RSF menyatakan persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan yang dilanggar beberapa minggu lalu.
Namun, walaupun sudah menyatakan ikrar itu sebelum ini, pertempuran masih berlaku di Khartoum dan di kawasan barat Darfur, Selasa lalu.

Ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan, ketika lawatannya ke ibu negara, semalam, turut mengisytiharkan bagi meneruskan perjuangan.
“Tentera bersedia untuk berjuang sehingga mencapai kemenangan,” katanya.
RSF, yang diketuai oleh bekas timbalan Abdel Fattah, Mohamed Hamdan Daglo, berkata pihaknya menuduh tentera yang melanggar gencatan senjata, dan pasukannya sentiasa bersedia menjalankan hak mereka untuk mempertahankan diri.
Menurut badan Projek Data Peristiwa dan Lokasi Konflik Bersenjata, perang saudara yang mula meletus di Sudan sejak 15 April lalu sudah mengorbankan kira-kira 1,800 individu.
Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal selain hampir 350,000 melarikan diri ke luar negara, termasuk kira-kira 170,000 daripadanya ke Mesir.
Menurut pertubuhan itu, kira-kira 25 juta orang yang mewakili lebih separuh penduduk Sudan kini memerlukan bantuan dan perlindungan.
Kini, seluruh daerah Khartoum tidak lagi mempunyai bekalan air, manakala kemudahan elektrik pula hanya diberikan untuk beberapa jam seminggu.
Sebanyak tiga perempat daripada jumlah hospital di zon pertempuran juga dilaporkan tidak beroperasi.
Angkatan Kebebasan dan Perubahan iaitu blok awam utama yang digulingkan daripada kuasa oleh Abdel Fattah dan Mohamed Hamdan pada 2021, memberi amaran perang saudara Sudan dikhuatiri akan berlarutan dan semakin meluas.
– AFP
