Tempoh Hingga Esok Bagi Rafizi Jawab Surat Tunjuk Sebab – Fuziah

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata surat berkenaan sudah dikeluarkan kepada Rafizi pada 23 Februari 2026. Foto Fuziah Salleh
KOTA BHARU, 27 Feb – Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memberi tempoh sehingga esok kepada Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli untuk menjawab isu dia dilaporkan mengisytiharkan keluar parti.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata surat berkenaan sudah dikeluarkan pada 23 Februari lalu dan bekas Timbalan Presiden KEADILAN itu diberi tempoh masa selama lima hari untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung hasrat sebenarnya.
Beliau berkata, kenyataan mengenai kemungkinan bekas Menteri Ekonomi itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta bayangan untuk keluar parti boleh menimbulkan persepsi bahawa sudah wujud hasrat untuk meninggalkan parti.
“Apabila beliau menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU16 dan kemungkinan keluar daripada parti, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa sudah wujud niat untuk meninggalkan parti,” katanya pada sidang media selepas Program Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BBR) 2026 Zon Timur, di sini hari ini.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkata, sehubungan dengan itu, surat tunjuk sebab berkenaan bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada Rafizi untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Sebaik-baiknya perkara ini dilakukan mengikut perlembagaan parti kerana perlembagaan jelas menyebut dalam Fasal 9.1 (c) mengenai pengisytiharan anggota itu sendiri bahawa beliau keluar daripada parti,” katanya.
Beliau berkata, tempoh sehingga esok itu adalah adil, selain memberi ruang sewajarnya dan mengelakkan tindakan terburu-buru tanpa sebarang penjelasan
“Sebarang maklumat akan dikeluarkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan diadakan pada 1 Mac ini,” katanya.
Baru-baru ini, dalam temu bual bersama media Cina tempatan, Rafizi membayangkan beliau berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU16 meskipun tanpa sokongan KEADILAN dan bukan atas tiket parti itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

