Malaysia Gesa Pakistan, Afghanistan Henti Segera Operasi Ketenteraan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi foto di media sosial pada 27 Februari 2026 berhubung konflik antara Pakistan dan Afghanistan. Foto AFP

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan serius Malaysia terhadap peningkatan ketegangan dan operasi ketenteraan rentas sempadan antara Pakistan dan Afghanistan yang kini menyaksikan pengisytiharan konflik terbuka antara dua negara jiran Islam itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, kehilangan nyawa di kedua-dua belah pihak merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila keganasan tersebut berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Malaysia menggesa Pakistan dan Afghanistan supaya menahan diri secara maksimum serta menghentikan segera semua operasi ketenteraan,” katanya.

Menurut Anwar, kebimbangan keselamatan sah yang dihadapi Pakistan perlu ditangani secara sewajarnya, namun pada masa sama kedaulatan dan integriti wilayah Afghanistan juga mesti dihormati.

“Tuntutan keselamatan dan penghormatan terhadap kedaulatan bukanlah sesuatu yang bercanggah. Kedua-duanya hanya boleh diselaraskan melalui meja rundingan,” ujarnya.

Anwar turut mendoakan keselamatan orang awam yang terperangkap dalam konflik tersebut serta berharap para pemimpin kedua-dua negara diberi kebijaksanaan untuk memilih jalan damai.

Terdahulu, ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan dilaporkan semakin memuncak susulan siri serangan dan tindakan balas ketenteraan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *