Tandas RM6 Juta Terima Kritikan Rakyat Jepun

Kontraktor Ekspo 2025 menerima kritikan ekoran perbelanjaan tinggi terhadap beberapa kemudahan termasuk tandas. Foto Getty Images
TOKYO, 25 Feb – Pengunjung ke ekspo dunia di Jepun, pada tahun depan, berpeluang menggunakan tandas dibina dengan kos lebih 1 juta pound Sterling (kira-kira RM6 juta), lapor portal The Guardian.
Media Jepun melaporkan minggu ini bahawa lebih 40 tandas sedang dibina di tapak Ekspo 2025 di Osaka, sebuah bandar pelabuhan di barat negara itu, dan dijangka menelan kos sebanyak £1.3 juta pound Sterling (kira-kira RM7.8 juta).
Lapan daripada kemudahan tandas di tapak ekspo itu mengandungi lebih banyak jumlah tandas berbanding tandas awam biasa, kata menteri bertanggungjawab, Hanako Jimi.
Mengenai kos pembinaan tandas itu, Jimi berkata, ia tidak semestinya bermaksud besar memandangkan skala projek berkenaan.

Namun, penjelasannya itu yang dilaporkan secara meluas oleh media Jepun menambah kritikan terhadap kos projek ekspo yang melambung tinggi.
Pendedahan mengenai pembinaan tandas itu muncul tidak lama selepas penganjur ekspo berkata, ia sudah menunda tarikh sasarannya untuk menyiapkan pavilion negara kepada Oktober tahun ini.
Ia sekali gus memetik kelewatan dalam pembinaan yang disebabkan oleh peningkatan kos bahan dan kekurangan buruh.
Pavilion jenis A, tempat negara mempamerkan sejarah, budaya dan teknologinya, sepatutnya siap menjelang Julai ini.
Daripada 150 negara dan wilayah yang mengambil bahagian, kira-kira 60 daripada sudah merancang untuk membina pavilion sendiri tetapi meninggalkan projek itu selepas mereka tidak dapat mencari firma pembinaan Jepun yang boleh menyiapkan kerja mengikut bajet.
Sehingga akhir tahun lalu, hanya 36 negara menyatakan komitmen untuk membina pavilion yang ditempah khas.
Tandas bukan satu-satunya ciri di tapak seluas 390 hektar itu yang mendapat kritikan. Pavilion dan tarikan lain akan dikelilingi oleh ‘Ring’ iaitu bumbung bulat untuk laluan pejalan kaki yang apabila siap, akan menjadi salah satu struktur kayu terbesar di dunia.
Orang ramai berbelah bahagi mengenai projek itu, yang tidak ramai percaya akan mengulangi kejayaan ekspo dunia di Osaka pada 1970.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
