Tak Mungkin ‘Team Hamzah’ Sertai Pas

Hamzah yang dipecat bersama beberapa ahli parlimen Pas tidak mungkin akan menyertai parti itu tetapi akan menubuhkan parti baharu bagi ‘menyaingi’ Bersatu.
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Terlalu mustahil malah tidak masuk akal bagi bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, bersama beberapa Ahli Parlimen parti itu yang dipecat, akan menyertai Pas.
Sebaliknya pilihan yang ada ialah menubuhkan parti baharu dan boleh menggantikan ‘peranan’ Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang kini dianggap sebagai ‘musuh’ Pas.
Sumber memberitahu bahawa kumpulan itu berkemungkinan besar akan berbuat demikan dan terus bekerjasama dengan Pas di bawah PN, sekurang-kurangnya memiliki majoriti lebih besar di Dewan Rakyat berbanding ahli parlimen Bersatu yang kini terpecah kepada dua kem.

“Kemungkinan mereka menyertai Pas adalah sangat tipis. Rancangannya adalah untuk menubuhkan parti baharu dan terus selaras dengan Pas dalam PN,” menurut sumber itu.
Menurut sumber, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kini dianggap tidak lagi relevan oleh kumpulan berkenaan.
“Jika beliau boleh mengambil tindakan sebegini terhadap Hamzah yang telah memberi sumbangan besar kepada kejayaan Bersatu, tiada jaminan beliau tidak akan melakukan perkara sama kepada pemimpin lain,” tambah sumber itu.

Sumber itu turut berkata, kumpulan berkenaan percaya bahawa platform politik baharu diperlukan untuk melindungi pemimpin yang ingin terus berkhidmat di bawah PN tanpa takut dikenakan tindakan disiplin.
Pada Jumaat lalu, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Selain Hamzah, Lembaga Disiplin parti itu turut memecat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Zainol Fadzi Paharudin, yang juga merupakan ahli majlis parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.

Lain-lain yang terbabit termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ahli Majlis dan ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Tindakan disiplin parti itu juga membabitkan pemimpin di peringkat bahagian, termasuk Setiausaha Bersatu Sabah dan Ketua Bahagian Libaran, Yunus Nurdin; Abdul Aziz (Dungun); Mohd Hassundi Hamzah (Larut); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).
Pemecatan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan dalaman yang semakin meningkat dalam Bersatu, susulan laporan bahawa Lembaga Disiplin sudah mengambil tindakan terhadap Hamzah atas dakwaan melanggar peraturan parti di bawah Klausa 9.1.4 perlembagaan parti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
