La Liga: Barcelona Tumbang Mengejut Di Girona

Bintang remaja Barcelona Lamine Yamal gagal menyudahkan sepakan setelah mendahului menerusi pertahanan tengah Pau Cubarsi sejurus sebelum sejam permainan pada 16 Februari 2026. Foto Reuters

GIRONA, 16 Feb – Juara Sepanyol, Barcelona menerima tamparan hebat dalam usaha mempertahankan gelaran La Liga apabila tewas mengejut 1-2 kepada Girona pada aksi musuh tetangga awal pagi tadi, sekali gus ketinggalan dua mata di belakang Real Madrid di puncak liga.

Los Blancos menewaskan Real Sociedad Sabtu lalu untuk memintas kelab Catalan itu, namun skuad kendalian Hansi Flick gagal memanfaatkan peluang merampas semula kedudukan teratas dalam pertembungan penuh dramatik itu.

Bintang remaja Lamine Yamal gagal menyudahkan sepakan penalti buat Barcelona yang mendahului menerusi pertahanan tengah Pau Cubarsi sejurus sebelum sejam permainan.

Barcelona dikejutkan dengan kekalahan 1-2 ke atas Girona dan Real Madrid kekal di persada La Liga dengan kelebihan dua mata. Foto Reuters

Bagaimanapun, jaringan Thomas Lemar dan Fran Beltran membolehkan Girona yang berada di tangga ke-12 bangkit melakar kemenangan bergaya.

“Kami perlu tingkatkan permainan kerana mereka tidak sepatutnya menjaringkan dua gol seperti itu ke atas kami,” kata Cubarsi kepada DAZN.

“Kami perlu menilai diri sendiri, kami tidak beraksi dengan baik, kami perlu perbaiki kelemahan, tetapi sekarang kami perlu berehat dan kumpul semula tenaga.”

Barcelona sepatutnya mendahului lebih awal apabila Dani Olmo dijatuhkan oleh Daley Blind di dalam kotak penalti, namun sepakan Yamal sekadar menggegar tiang gol.

Barca akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-59 menerusi tandukan Cubarsi hasil hantaran lintang Jules Kounde, namun Girona pantas menyamakan kedudukan.

Lemar melepasi kawalan Eric Garcia sebelum menyudahkan hantaran Vladyslav Vanat dari jarak dekat untuk gol penyamaan.

Barcelona gagal mengekang kebangkitan tuan rumah dan Girona berada di depan pada minit ke-87 apabila Beltran melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti.

Pelawat yang minggu lalu mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol berhubung keputusan pengadil yang tidak konsisten, berang apabila Kounde dikasari Claudio Echeverri dalam gerakan gol itu namun tidak dihukum.

Girona menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Joel Roca dilayangkan kad merah selepas mengasari Yamal bagi menggagalkan serangan terdesak Barcelona pada masa kecederaan.

“Ia kelihatan seperti satu kekasaran (ke atas Kounde), tetapi kami tidak boleh terlalu fokus kepada keputusan yang di luar kawalan kami,” kata pertahanan Barcelona, Gerard Martin. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *