Tahanan Pusat Pemulihan Ucap Terima Kasih Kurniaan Hidangan Tengah Hari Daripada Sultan Perak

Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) mewakili Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bergambar kenangan selepas menyerahkan kurniaan hidangan tengah hari kepada penghuni Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah hari ini. Foto Facebook Pejabat Daerah dan Tanah Kinta Batu Gajah

BATU GAJAH, 3 Nov – Tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah di sini bersyukur dan berterima kasih, atas sumbangan hidangan makanan tengah hari yang dibiayai Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-67 yang disambut hari ini.

Seramai 480 tahanan di PPA itu, menerima sumbangan makanan yang diserahkan oleh Orang Besar Jajahan Kinta Datuk Ab Wahab Azizul Hassan, yang mewakili baginda.

Turut hadir Pengarah PPA Batu Gajah Penolong Komisioner Penjara Marzuki Azmi Bidi.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari hari ini kepada 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan PPA Batu Gajah.

Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) mewakili Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bergambar kenangan selepas menyerahkan kurniaan hidangan tengah hari kepada penghuni Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah hari ini. Foto Facebook Pejabat Daerah dan Tanah Kinta Batu Gajah

Sumbangan dari pembiayaan Sultan Perak sendiri itu, atas sifat prihatin dan ihsan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan terlibat.

Hidangan terbabit meliputi nasi beriani, rendang tok, ayam masak merah, dalca, papadum, buah epal dan air sirap yang dinikmati dan berbeza dengan makanan harian biasa.

Pengarah Penjara Perak, C Charin Promwichit, berkata pihaknya merakamkan penghargaan dan junjung kasih terhadap Sultan Nazrin atas keprihatinan dan ihsan baginda kepada semua banduan serta tahanan penjara di negeri ini, membabitkan sumbangan berjumlah RM85,200.

“Baginda menyumbangkan sebanyak RM85,200 bagi peruntukan makan tengah hari banduan dan tahanan di empat institusi Jabatan Penjara Perak, iaitu Penjara Taiping membabitkan kira-kira 1,800 orang, Penjara Tapah (3,400), Pusat Koreksional Kamunting (1,500) serta Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah (500).

Sementara itu, seorang tahanan yang dikenali sebagai Langs, 31, yang berasal dari Sabah meluah rasa syukur atas perkenan Sultan Nazrin Shah menaja makanan untuk tahanan di PPA itu.

“Kami berterima kasih kepada baginda atas sifat prihatin baginda terhadap kebajikan tahanan seperti kami dan ia secara tidak langsung memberi kami semangat untuk terus mengubah hidup kami apabila keluar kelak,” katanya.

Seorang lagi tahanan Erieyna, 26, berkata sumbangan itu membuktikan golongan seperti mereka tidak dipinggirkan.

“Sudah pasti tahanan seperti kami memerlukan semangat agar kami diberikan peluang kedua dan tajaan ini secara tidak langsung mencerminkan sifat ihsan baginda terhadap kami,” katanya yang berazam untuk mengubah kehidupan selepas dibebaskan dari pusat itu.

Daulat Tuanku.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *