Syarikat Telekomunikasi Sahkan Data Pengguna Bersifat ‘Tanpa Nama, Maklumat Peribadi’

Penyedia telekomunikasi seperti Maxis memberi jaminan bahawa tidak berlaku perlanggaran terhadap mana-mana akta termasuk PDPA.

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Lima syarikat telekomunikasi utama negara memaklumkan bahawa data yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah dalam bentuk anonim serta tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Lima syarikat berkenaan iaitu Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile, CelcomDigi dan YES menjelaskan perkara tersebut menerusi kenyataan akhbar berasingan yang dimuat naik di laman web masing-masing pada Ahad.

Maxis menyatakan bahawa syarikat itu tidak berkompromi dan tidak membenarkan sebarang akses kepada pemprosesan atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi pada sebarang peringkat.

“Kesemua data dianonimkan oleh Maxis dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat, mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

“Proses-proses dan langkah-langkah kawalan sedia ada telah dilaksanakan untuk memastikan data peribadi pelanggan tidak akan dikompromi. Maxis kekal komited sepenuhnya kepada melindungi data untuk semua pelanggan kami,” katanya.

Dalam kenyataan di laman web TM, syarikat itu menegaskan bahawa tindakan pengemukaan data dilakukan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, selaras dengan dasar syarikat serta undang-undang dan peraturan kawal selia yang telah dikuatkuasakan selama ini.

“TM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan sentiasa terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” menurut kenyataan itu.

Ketika mengulas perkembangan itu, penganalisis data Muhammad Afif Abdul Rashid amat menyokong kenyataan syarikat-syarikat berkenaan bagi memberi keyakinan kepada orang awam bahawa data yang dikumpul tidak akan disalahgunakan.

”Seperti yang saya tekankan sebelum ini, kesemua penyedia perkhidmatan telekomunikasi hanya membantu kerajaan menerusi MCMC (SKMM) bagi tujuan rasmi termasuk mengumpul data berkenaan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

”Dan hari ini kesemua mereka (syarikat telekomunikasi) sepakat membantu kerajaan dalam memastikan tahap keyakinan rakyat berada pada tahap tertinggi terutamanya dengan penegasan Menteri Komunikasi sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, U Mobile menyatakan bahawa pihaknya menyedari objektif inisiatif berkenaan dan komited untuk terus bekerjasama dengan SKMM, sambil memastikan standard tertinggi dalam tadbir urus data pelanggan dikekalkan.

“U Mobile telah menetapkan dasar dan proses untuk memastikan sebarang data yang dikongsi adalah sepenuhnya dianonimkan, diagregatkan serta dikendalikan mengikut undang-undang dan peraturan perlindungan data yang berkuat kuasa.

“Apabila kami berkongsi data telefon pintar (Mobile Phone Data, MPD) dengan SKMM, sebarang maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti (Personally Identifiable Information, PII) tidak akan dikongsi atau diproses pada bila-bila masa,” jelas syarikat itu.

Dalam pada itu, CelcomDigi dalam satu kenyataan turut menegaskan bahawa semua urusan berkaitan penggunaan data pelanggan tertakluk kepada pemantauan sewajarnya oleh pihak pengurusan, di bawah tanggungjawab Pegawai Perlindungan Data dan dilaporkan secara berkala kepada Lembaga Pengarah.

“Kami telah melaksanakan dasar dan proses tadbir urus data berasaskan pematuhan ketat kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perlindungan Data Peribadi serta semua peraturan yang berkaitan.

“Selain itu, kami secara berterusan menjalankan semakan menyeluruh terhadap pematuhan privasi dan perlindungan data di seluruh syarikat bagi mendorong penambahbaikan berterusan, sejajar dengan amalan terbaik serta perkembangan undang-undang baharu,” katanya.

Terdahulu, SKMM mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang arahan penyerahan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet pelanggan kepada syarikat telekomunikasi adalah bertujuan untuk membolehkan suruhanjaya itu mengakses maklumat peribadi pengguna.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan akhbar antarabangsa South China Morning Post (SCMP) yang mendakwa kerajaan telah mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan rekod panggilan dan penggunaan internet bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Kenyataan tidak bertanggungjawab beberapa portal kononnya pengumpulan data pengguna mengganggu privasi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *