PM Anwar Arah KPT Selaras Bantuan 15 Pelajar UPSI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdukacita dengan nahas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
GERIK, 9 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukcacita terhadap nahas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini, pagi tadi.
Perdana Menteri berkata, pihaknya telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) amat berduka cita menerima perkhabaran nahas tragis yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.

“Saya telah arahkan KPT untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” katanya.
Anwar juga mendoakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
Katanya, musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.

Terdahulu sekurang-kurangnya 15 pelajar dilaporkan maut manakala ramai tercedera dalam nahas yang melibatkan bas membawa penuntut UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di JRTB Gerik – Jeli, berhampiran Tasik Banding, di sini awal pagi ini.
Berdasarkan maklumat awal, bas tersebut yang membawa para pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Bas tersebut dilapor bertolak dari Jerteh jam 9 malam tadi. Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.10 pagi.
Menurut laporan itu, 13 orang meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik.
Laporan itu turut memaklumkan, tujuh mangsa dirawat di zon merah, 20 orang di zon kuning manakala enam lagi di zon hijau.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
