Suspek Diberkas Cederakan Beberapa Individu Di Colorado

Pegawai penguat kuasa membuat siasatan selepas serangan di Pearl Street Mall, Boulder, Colorado pada 1 Jun 2025. Foto The Denver Post
COLORADO, 2 Jun – Beberapa individu cedera dalam serangan di Pearl Street Mall, Boulder, di sini, semalam.
Ketua Polis Boulder, Stephen Redfearn, berkata seorang suspek lelaki ditahan selepas laporan mengenai seseorang yang menyerang orang awam dan cuba membakar mangsa.
Beliau berkata, pihaknya juga mengesahkan bahawa mangsa serangan itu mengalami kecederaan serius hingga ringan.
Serangan itu berlaku berdekatan dengan acara Run For Their Lives, sebuah perhimpunan mingguan yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai tebusan Israel yang masih berada di Gaza.

Redfearn berkata, hasil siasatan serangan itu masih ‘di peringkat awal’.
“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai motif kejadian.
“Namun, suspek diberkas susulan beberapa laporan kepada pusat kawalan polis mengenai individu bersenjata yang didakwa ‘membakar orang awam’.
“Insiden ini tidak diklasifikasikan sebagai serangan keganasan ketika ini, namun kejadian di Pearl Street, tak boleh diterima.
“Saya meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan mangsa, waris dan semua yang terbabit dalam insiden ini,” katanya.
Ia berlaku ketika ketegangan semakin memuncak di Amerika Syarikat (AS) susulan perang Israel-Gaza yang mencetuskan lonjakan jenayah kebencian bersifat anti-Yahudi serta tindakan penyokong konservatif Israel diketuai Presiden Donald Trump, melabel demonstrasi pro-Palestin bersifat anti-Yahudi.
Pentadbiran Trump menahan penunjuk perasaan yang membantah perang itu tanpa sebarang pertuduhan dan menghentikan pembiayaan kepada universiti terkemuka di AS yang membenarkan demonstrasi sedemikian diadakan.
Sementara itu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel, menyifatkan insiden terbabit sebagai ‘serangan keganasan disasarkan’.
Peguam Negara Colorado, Phil Weiser, pula berkata ia dilihat sebagai ‘jenayah kebencian mengikut kumpulan sasaran’.
Bagi Ketua Minoriti Senat merangkap tokoh terkemuka Demokrat berbangsa Yahudi, Chuck Schumer, berkata pihaknya memantau perkembangan insiden disifatkan mengerikan, selain menegaskan ia tidak boleh dibiarkan berterusan dan antisemitisme perlu dibanteras.
Mahasiswa Universiti Colorado, Brooke Coffman, 19, yang menyaksikan insiden itu, berkata empat wanita dilihat terbaring atau duduk di atas tanah dengan kesan melecur pada kaki mereka.
Katanya, seorang daripada mangsa dilihat mengalami lecur teruk pada sebahagian besar anggota badan dan diselubungi bendera oleh seseorang, selain mendakwa lelaki tanpa baju disyaki sebagai penyerang berdiri di laman sambil menjerit dan memegang botol kaca berisi cecair jernih.
“Semua orang menjerit ‘cari air, cari air’,” katanya.
Serangan itu susulan penahanan seorang lelaki kelahiran Chicago bulan lalu, ekoran insiden tembakan yang mengorbankan dua kakitangan Kedutaan Israel di Washington.
Seseorang melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang yang sedang meninggalkan acara anjuran pertubuhan advokasi menentang antisemitisme dan menyokong Israel, American Jewish Committee.
Ia memburukkan lagi perpecahan antara penyokong Israel dan penunjuk perasaan pro-Palestin di AS susulan perang di Gaza. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


