Surat 10 Januari: Bukti Rundingan Damai PN Sudah Gagal

Sepanjang 10 hari itu Pas dan Bersatu sebenarnya cuba berunding, memujuk dan mencari jalan penyelesaian secara senyap tetapi semuanya tidak berjaya.

PENDAPAT, 11 Jan – Surat rasmi Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bertarikh 10 Januari 2026 sebenarnya mendedahkan satu hakikat penting: usaha damai dalam Perikatan Nasional (PN) sudah gagal. Walaupun surat itu kelihatan seperti urusan biasa parti, tarikh 10 Januari itulah yang membongkar cerita sebenar.

Kenapa baru selepas 10 hari Muhyiddin Yassin meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari barulah Pas mahu memanggil mesyuarat? Ini menunjukkan sepanjang 10 hari itu mereka sebenarnya cuba berunding, memujuk dan mencari jalan penyelesaian secara senyap tetapi semuanya tidak berjaya.

Dalam politik Malaysia, bila ketua letak jawatan, parti biasanya segera bermesyuarat dan cuba pujuk. Tetapi kali ini, keadaan sunyi selama 10 hari. Itu tanda rundingan tidak menjadi.

Pengganti Muhyiddin menjadi persoalan penting menentukan masa depan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat terumbang-ambing walaupun nama Ahmad Samsuri antara calon ‘terbaik’ tetapi mempunyai kelemahan tersendiri.

Sama ada PN gagal pujuk Muhyiddin, atau Muhyiddin gagal dapat apa yang diminta, akhirnya Pas memilih untuk berhenti berharap dan bergerak ke langkah seterusnya.

Masalah ini juga berkait rapat dengan krisis Menteri Besar Perlis sebelum ini yang mencerminkan hilangnya kepercayaan antara Pas dan Bersatu.

Sepatutnya 10 hari itu menjadi tempoh “sejukkan keadaan”, tetapi keluarnya surat 10 Januari membuktikan tiada jalan damai dicapai. Bersatu gagal yakinkan Pas, dan Pas pula tidak mahu mengalah.

Pencalonan Ahmad Samsuri menggantikan Muhyiddin mungkin menyelesaikan isu jangka pendek tetapi belum tentu berkesan buat jangka masa panjang.

Ayat dalam surat yang menyebut tempoh sudah melebihi 10 hari jelas menunjukkan Pas sudah hilang sabar. Lebih ketara apabila Pas mendesak mesyuarat untuk melantik Pengerusi PN baharu.

Kalau rundingan berjaya, kita sepatutnya lihat sidang media bersama, bukan surat tuntutan tukar ketua. Ini tanda pintu rundingan sudah tertutup. Muhyiddin bukan lagi pemandu PN, dan tiada lagi pusing balik.

Kesimpulannya, surat 10 Januari ini ibarat “sijil kematian” kepada usaha damai dalam PN selepas krisis Perlis. Ia menandakan tamatnya era kepimpinan lama dan menunjukkan perpecahan dalam PN semakin serius serta sukar diperbaiki dalam masa terdekat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *