MCMC Sekat Sementara Akses AI Grok Di Malaysia

MCMC telah menyekat akses sementara Grok sehingga diberitahu kelak.
CYBERJAYA, 11 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa mulai hari ini.
Menerusi kenyataan di media sosial di sini, MCMC menjelaskan, tindakan ini diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.
“MCMC telah mengeluarkan notis kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 Januari 2026 dan 8 Januari 2026 bagi menuntut, antara lain, pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan Al yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walau bagaimanapun, maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 Januari 2026 dan 9 Januari 2026 hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat Al tersebut,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MCMC mendapati perkara ini tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang.
“Sehubungan itu, sekatan ini dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan. Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak,” kata MCMC.

Suruhanjaya itu kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan XAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia dan orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, Indonesia juga menyekat sementara akses kepada Grok berikutan kebimbangan bahawa kandungan pornografi dan “deepfake” yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid berkata langkah itu bertujuan melindungi golongan wanita, kanak-kanak dan orang awam daripada kandungan pornografi palsu yang dihasilkan oleh AI.

Beliau berkata kerajaan menganggap penghasilan “deepfake” seksual tanpa kebenaran sebagai pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia, maruah manusia serta keselamatan rakyat dalam ruang digital.
“Kementerian Komunikasi dan Digital juga telah meminta Platform X untuk segera memberikan penjelasan berkaitan impak negatif yang timbul daripada penggunaan Grok,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
