Sultan Brunei Titip Doa, Kesejahteraan Buat PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Putrajaya pada 4 November 2025. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi bertanya khabar serta mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.
“Tengah hari tadi saya menerima panggilan telefon daripada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
“Baginda dengan penuh takzim bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya. Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Tuanku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut mendoakan agar Sultan Hassanal Bolkiah sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT sepanjang masa.
Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober lalu dan kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu ialah pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Asia Pasifik (APEC) di Gyeongju, Korea Selatan dari 31 Oktober hingga 1 November lepas.

Pada Ahad, Perdana Menteri dilaporkan terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang pada saat akhir atas nasihat pasukan perubatan setelah mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau terbatas selepas pulang dari Korea Selatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
