Subsidi Diesel: Kerajaan Teliti Kerangka Laksana Penyasaran Bagi Sabah, Sarawak

Armizan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2026, yang disambut meriah di Kota Kinabalu pada 28 Mac 2026. Foto Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU 28 Mac – Kerajaan sedang meneliti kerangka cadangan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dan sebaik cadangan mekanisme diperkemas, ia akan dibawa perbincangan dengan kerajaan Sabah serta Sarawak sebelum dilaksanakan, kata Datuk Armizan Mohd Ali.

“Asasnya adalah subsidi diesel akan terus dilaksanakan, namun secara bersasar sekali gus menangani risiko ketirisan meliputi penyelewengan dan penyeludupan,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu.

Beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan hanya dipertimbangkan pada fasa seterusnya kerana beberapa faktor termasuk kebergantungan tinggi penduduk kepada diesel, keadaan geografi serta jurang harga barangan keperluan asas yang besar berbanding Semenanjung.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, kos pengangkutan barang melalui laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada jurang harga barangan yang besar di wilayah tersebut.

Katanya, kerajaan sudah mempunyai beberapa model penyaluran subsidi bahan api seperti BUDI95, BUDI Madani, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang boleh dijadikan panduan dalam memuktamadkan mekanisme bagi tiga wilayah tersebut.

Menurutnya, kerajaan juga akan mengambil kira ciri unik di Sabah, Sarawak dan Labuan serta pandangan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan dasar itu.

Beliau mengulas dakwaan bahawa kerajaan persekutuan tidak berlaku adil kerana masih mengekalkan subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang sebenarnya adalah tidak tepat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *