Pakistan Bincang Usaha Pengantaraan Dengan Iran Tamatkan Konflik Asia Barat

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengenai usaha pengantaraan yang sedang dijalankan bagi menamatkan konflik berterusan di Asia Barat pada 28 Mac 2026.

KARACHI, 28 Mac – Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengenai usaha pengantaraan yang sedang dijalankan bagi menamatkan konflik berterusan di Asia Barat, menurut satu kenyataan rasmi, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam panggilan telefon yang berlangsung lebih sejam semalam, yang kedua dalam beberapa hari kebelakangan ini Sharif memaklumkan Pezeshkian mengenai usaha diplomatik berterusan Pakistan, termasuk membabitkan Amerika Syarikat serta negara Teluk dan Islam “bersaudara” bagi memudahkan dialog dan meredakan ketegangan, menurut kenyataan pejabat beliau.

Perdana Menteri itu mengulangi kecaman “tegas” Pakistan terhadap serangan berterusan Israel ke atas Iran, termasuk serangan terkini terhadap infrastruktur awam, serta menyatakan solidariti Islamabad bersama rakyat Iran yang “berani”.

“Sekali lagi menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa rakyat Iran dan mendoakan agar mereka yang cedera dan terjejas segera pulih,” katanya lagi.

Sharif turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran atas penghargaan terhadap usaha ikhlas Pakistan dalam membawa keamanan ke hadapan dan memudahkan dialog di rantau itu, sambil menyatakan harapan agar jalan penyelesaian yang “berdaya maju” dapat ditemukan secara bersama untuk menamatkan permusuhan.

Sementara itu, Pezeshkian menghargai usaha diplomatik Islamabad yang “ikhlas” dan berkongsi pandangannya mengenai serangan berterusan yang “dilakukan oleh Israel terhadap Iran”.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac 2026. Foto PMO

Beliau memuji peranan Sharif dalam “menyokong” usaha keamanan serta menekankan keperluan untuk “membina kepercayaan bagi memudahkan rundingan dan pengantaraan,” menurut kenyataan itu.

Sharif memberi jaminan yang Pakistan akan terus berperanan “konstruktif” dalam membawa keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

Pakistan turut mengesahkan peranan langsungnya dalam menyampaikan mesej antara Amerika Syarikat dan Iran ke arah menamatkan perang di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif pada 26 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu, sumber di Islamabad memberitahu Anadolu, yang minggu ini adalah kritikal bagi sebarang kemungkinan kejayaan dalam rundingan antara Washington dan Tehran.

Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, meragut nyawa lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan. – Bernama-Anadolu

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *