Solat Jumaat: PM Anwar Sertai 4,000 Jemaah Di Masjid Putra

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada 22 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 22 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kira-kira 4,000 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Putra, di sini.
Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 1.15 tengah hari, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Anwar bersama jemaah kemudian turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Bangkit Membela Teguh Bersaudara’ disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr. Muhammad Zakuwa Rodzali.
Solat Jumaat diimamkan oleh imam Masjid Putra, Ustaz Muhamad Nabil dan disertai jemaah yang mendengar khutbah yang disampaikan.

Isi khutbah antara lain menyampaikan maklumat bahawa rakyat Palestin kini terus dibantai rejim Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban, puluhan ribu cedera, manakala rumah dan masjid musnah.
Menurutnya, membantu Palestin adalah tuntutan iman, sama ada melalui harta, doa, diplomasi atau apa sahaja bentuk usaha yang mampu menghentikan kezaliman.

“Buli ialah kezaliman yang merosakkan maruah dan nyawa, wajib dibanteras oleh semua pihak, bermula dengan didikan diri agar tidak menyakiti orang lain,” katanya.
Selesai solat, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir sebelum beredar meninggalkan masjid.

Selain itu, Anwar turut menyantuni peserta program Cendekiawan Malaysia- Indonesia (Malindo MADANI) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selain menerima deklarasi Kuala Lumpur Malindo MADANI.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
