PM Anwar Arah Laporan Nahas Pesawat Hornet Dibentang Ke Kabinet – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil semasa sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya pada 22 Ogos 2025.
PUTRAJAYA, 22 Ogos – Laporan siasatan penuh insiden pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya malam tadi akan dibentangkan di Kabinet sesuai dengan arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara tersebut dinyatakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyediakan laporan berkenaan dalam Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri, hari ini.
“Perdana Menteri telah minta Menteri Pertahanan untuk memberikan sedikit maklum balas dan status terkini siasatan terhadap kemalangan yang melibatkan pesawat F/A-18D Hornet di Kuantan yang berlaku pada malam tadi.

“Siasatan akan dilakukan dan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri setelah ia siap,” katanya pada sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri sebentar tadi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menambah, Jemaah Menteri turut menzahirkan rasa syukur kerana juruterbang dan jurusensor terbabit dalam kejadian itu berada dalam keadaan selamat.
“Menteri Pertahanan telah memaklumkan bahawa alhamdulillah syukur kedua-dua pilot (juruterbang) selamat,” ujarnya.
Terdahulu pesawat milik TUDM itu mengalami kemalangan kira-kira jam 9.05 malam tadi menyebabkan dua anggota cedera dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan sudah pun dibenarkan keluar pagi tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
