Skuad Sepak Takraw Negara Akan Terima Insentif Khas RM170,000

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sidang media menyambut pulang atlet dari kejohanan Boling Padang Dunia 2024 Afrika Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto Bernama

SEPANG, 3 Jun – Pasukan sepak takraw kebangsaan bakal menerima insentif khas berjumlah RM170,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) susulan kejayaan membanggakan pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata MSN telah meluluskan pemberian insentif berjumlah RM60,000 masing-masing kepada pasukan regu dan double susulan kejayaan muncul juara manakala regu berpasukan yang bergelar naib juara pula menerima RM50,000 pada saingan berlangsung di Stadium Titiwangsa.

“(Kejayaan) Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 amat besar maknanya untuk rakyat Malaysia dan pemain pula bekerja keras menang emas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 pada majlis menyambut kepulangan skuad boling padang para dari Kejohanan Dunia 2024 di Ekurhuleni, Afrika Selatan.

Pada 22 Mei lepas, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada pertandingan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan pula terus berpanjangan selepas tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final pada 26 Mei.

Dalam pada itu, Hannah berkata MSN masih lagi berbincang mengenai kemasukan semula sepak takraw sebagai sukan teras seperti diminta Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan sebelum ini.

Sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo merupakan tiga sukan digugurkan MSN daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan berdasarkan semakan semula, termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

Mengenai permintaan berhubung pembinaan stadium khas untuk sepak takraw, Hannah mencadangkan supaya PSM bersama persatuan sukan lain bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk menggunakan kemudahan mereka termasuk untuk tujuan latihan. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *