Skandal Rasuah ADUN Sabah Bakal Temui Titik Noktah

Di sebalik tekanan terhadap SPRM, namun Tan Sri Azam Baki berjaya meyakinkan rakyat bahawa skandal rasuah membabitkan ADUN Sabah kini sudah menemui titik noktah. Foto Facebook SPRM
PENDAPAT, 13 Jun – Biarpun mengambil sedikit masa untuk merungkai kes sebegini rumit termasuk mengesahkan ketulenan rakaman video menggunakan audit forensik, skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah, namun jalan keluar sudah semakin jelas hari ini.
Kita percaya dengan hasil siasatan skandal yang menggemparkan seluruh negara ini bakal menemui noktahnya tidak lama lagi.
Dengan puluhan saksi dan keterangan dirakam, selain mengenal pasti motif dan bagaimana ia berlaku, kita serahkan kepada pihak berwajib untuk meneruskan pendakwaan bagi membersihkan segala macam fitnah dan spekulasi terutama daripada pembangkang.
Ini setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sekurang-kurangnya dua individu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat berhubung dakwaan rasuah berkenaan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak menolak individu berkenaan akan dituduh dahulu dan memaklumkan perkara berkaitan secara lanjut kemudian selepas itu.
“Mengenai isu Sabah, saya akan umumkan dalam tempoh terdekat, akan ada seorang atau dua orang akan didakwa di mahkamah.
“Boleh jadi mereka akan dikenakan pertuduhan dahulu dan saya akan buat pengumuman kemudian,” katanya pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025, di Bangi, pada Khamis.
Kertas siasatan SPRM berkait isu pelesenan lombong mineral di negeri itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut, membuktikan tiada apa yang ingin diselindungkan.
Isu hangat ini mula timbul apabila beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu perlombongan mineral di negeri itu tular tahun lalu.
Atas kes inilah pembangkang sibuk mencanang kononnya kerajaan ‘melindungi’ perasuah hingga tiada apa lagi penjelasan diberikan menepati ‘selera’ mereka.
Nah, kalian sendiri yang minta dan sekarang jangan lagi ‘berpusing-pusing’ menyalahkan apa sahaja usaha kerajaan kerana selama 33 bulan mereka berkuasa, bukan setakat Muhyiddin Yassin, bahkan hampir lapan pemimpin mereka sendiri terpalit dengan skandal seperti Jana Wibawa dan sebagainya.
Pokok pangkalnya, sebelum menuduh orang, cerminlah muka sendiri dahulu!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


