Serangan Skala Besar Israel Bunuh Komander Tertinggi, Saintis Nuklear Iran

Serangan udara berskala besar Israel ke atas Iran dilancarkan ke Tehran awal pagi tadi yang membunuh komander dan saintis nuklear pada 13 Jun 2025.
TEHRAN, 13 Jun – Rejim Israel melancarkan serangan udara berskala besar ke atas Iran telah menggegarkan struktur keselamatan republik Islam itu, apabila beberapa pemimpin tertinggi tentera dan kakitangan program nuklear Iran dilaporkan terbunuh, termasuk Komander Tertinggi Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami.
Menurut portal berita separa rasmi Iran, Tasnim, Mejar Jeneral Salami dilaporkan maut dalam serangan tepat di ibu negara Tehran, menjadikan insiden ini antara yang paling mengejutkan dalam sejarah konflik Israel-Iran.
Beliau dikenali sebagai tokoh utama yang mengawasi hubungan strategik Iran dengan kumpulan proksi seperti Hizbullah di Lubnan yang sering melancarkan serangan ke atas Israel.
Tasnim turut melaporkan kematian tiga lagi pegawai kanan Iran, iaitu Timbalan Panglima Angkatan Tentera, Gholam Ali Rashid; ahli fizik nuklear Mohammad Mehdi Tehranji; dan saintis nuklear terkemuka Fereydoun Abbasi.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen negara memberi amaran keras, “Israel harus bersedia menerima hukuman yang berat.
Tangan besi Republik Islam tidak akan melepaskan mereka.” Ayatollah Khamenei turut mengesahkan beberapa komander kanan tentera dan saintis nuklear telah terbunuh, namun tidak menyebut Amerika Syarikat secara langsung.
Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi, turut memberi amaran melalui siaran langsung televisyen, Israel dan Amerika Syarikat akan menerima tamparan hebat.
“Serangan balas pasti akan berlaku, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, media rasmi Iran turut mengesahkan serangan menyebabkan kematian orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak di kawasan perumahan di Tehran.
“Beberapa individu termasuk wanita dan kanak-kanak syahid dalam serangan ke atas kompleks kediaman,” lapor agensi IRNA.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi dikeluarkan daripada pemerintah Iran atau Israel tentang jumlah kematian keseluruhan.
Serangan yang berlaku pada awal pagi Jumaat ini disifatkan sebagai perubahan drastik dalam taktik ketenteraan Israel.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


