Siasatan ARM: SPRM Beri Tempoh Dua Minggu Buat James Chai

SPRM dalam kenyataan berkata, James Chai sebelum ini sudah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali untuk hadir, namun beliau masih gagal berbuat demikian.
KUALA LUMPUR, 1 Apr – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa individu bernama Chai Jin Shern, atau lebih dikenali sebagai James Chai, untuk segera tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes ARM yang sedang giat dijalankan.
SPRM dalam kenyataan berkata, individu berkenaan sebelum ini sudah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali untuk hadir, namun beliau masih gagal berbuat demikian.
“Pada 4 Mac lalu, SPRM mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesannya. Susulan itu, SPRM menerima surat daripada peguamnya bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

“SPRM kemudiannya mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir,” katanya.
Menurutnya, sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat pada hari ini yang menetapkan bahawa dia perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
“Sekiranya dia masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, Suruhanjaya ini akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk INTERPOL atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya,” katanya.

Berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan, setakat ini, seramai 17 saksi dirakam percakapan yang membabitkan pegawai daripada Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
SPRM juga menyita beberapa dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan. Di samping itu, lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara, dijangka akan dipanggil dalam masa terdekat.
SPRM turut menegaskan bahawa sekiranya James Chai berpendirian tidak melakukan sebarang kesalahan, beliau sewajarnya tampil memberi keterangan secara rasmi dan bukannya mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
