Rakyat Wajar Sokong Usaha PM Anwar Banteras Rasuah Habis-Habisan – Zaidi Ahmad

Zaidi melihat ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang rasuah dalam negara tanpa mengira status membuktikan beliau tidak main-main dengan pelakuan jijik berkenaan. Foto Arkib
PEKAN, 21 Jan – Usaha berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menyiasat pemimpin dan ahli perniagaan berprofil tinggi wajar disokong dan disebarkan bagi memberi kesedaran kepada rakyat akan bahaya rasuah dalam negara.
Ini diakui Ketua Cabang KEADILAN Pekan, Zaidi Ahmad yang melihat ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang rasuah dalam negara tanpa mengira status membuktikan beliau tidak main-main dengan pelakuan jijik berkenaan.
”Saya berpandangan iltizam Perdana Menteri melawan rasuah termasuk tindakan SPRM menyiasat pihak-pihak tertentu wajar disambut baik semua rakyat bagi membersihkan imej negara yang tercalar sekian lama.
”Tindakan SPRM menyerbu kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri kelmarin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion amat wajar dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata sudah sampai masanya rakyat dididik membenci rasuah di setiap peringkat dan melaporkannya kepada pihak berkuasa sebagai salah satu tanggungjawab atau fardu kifayah buat umat Islam.
”Insiden pencurian dan rompakan wang negara dahulu tidak lagi diizinkan Perdana Menteri yang berkali-kali mahu pelakuan terkutuk itu dibasmi segera.
”Tidak kira siapa, kesungguhan Perdana Menteri itu mesti menjadi satu amalan baik yang boleh diteladani rakyat tanpa mengira umur malah pendidikan dan penerapan anti-rasuah di sekolah juga perlu agar negara dapat diselamatkan,” tambahnya lagi.
Beliau diminta mengulas laporan kehadiran pegawai SPRM di kediaman seorang ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada jam 10 pagi.
Menurut sumber, turut diserbu iaitu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya adalah syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
“Tiga lagi syarikat yang diserbu adalah entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
“Kehadiran pegawai SPRM di semua lokasi termasuk kediaman milik Tan Sri berkenaan adalah bagi memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu Datuk Seri Anwar hari ini memberi isyarat bahawa kerajaannya akan terus mencari kebenaran dalam siasatan kecurian dana negara untuk rakyat, biarpun kini berdepan dengan kritikan hebat.
Sesi Rakaman Percakapan SPRM Terhadap Daim Ditunda Ekoran Masuk Hospital
Pada majlis sambutan Hari Ponggal Peringkat Kebangsaan 2024, Perdana Menteri berkata, siasatan terhadap golongan kaya dan kenamaan, khususnya mereka yang bergelar Tun tidak semudah yang disangka dan ia perlu disokong oleh semua pihak.
“Kita tingkatkan usaha kita, ia tidak mudah kerana hutang (negara) banyak (tetapi) ada yang curi, curi, curi duit rakyat.
“Kita mahu ambil tindakan dan ada yang marah-marah. (Mereka) curi sana, curi sini dan tidak diambil tindakan.
“Bagi saya ia (kritik kerajaan) aneh, sepatutnya you sokong kerana bukan senang tau mahu siasat Tun.
“Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah Tamil lagi senang. Saya mahu siasat orang kaya besar-besar yang curi duit ingat senang ke?. Tak senang…,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
