Serangan Peluru Berpandu, Dron Russia Sasar Infrastruktur Tenaga Ukraine

Seorang penduduk memeriksa struktur yang dirosakkan dron tentera Russia dalam serangan pada 13 Disember 2025. Foto Reuters
KYIV, 27 Feb – Russia melancarkan serangan ke atas Ukraine menggunakan puluhan dron penyerang serta peluru berpandu balistik dan krus, dengan tumpuan kepada infrastruktur tenaga, menurut kenyataan tentera Ukraine dan pegawai tempatan, menurut kemaskini laporan Reuters minggu lalu.
“Serangan semalaman itu melanda Kyiv dan kawasan sekitar ibu negara, pelabuhan Laut Hitam Odesa serta wilayah tengah Ukraine,” menurut kenyataan itu.
Sekurang-kurangnya seorang cedera di wilayah Kyiv, manakala kerosakan dilaporkan di lima daerah dengan lebih sedozen rumah mengalami kerosakan, kata gabenor wilayah, Mykola Kalashnyk, menerusi aplikasi pesanan Telegram.

Gabenor Odesa, Oleh Kiper, turut memaklumkan di Telegram serangan dron pada waktu malam yang menyasarkan infrastruktur tenaga wilayah itu mencetuskan kebakaran, namun api berjaya dipadamkan.
Russia hampir setiap hari menyerang sistem tenaga Ukraine dengan menyasarkan loji janakuasa haba dan pencawang elektrik.
Serangan ke atas stesen jana kuasa, sistem penghantaran tenaga dan sektor gas adalah antara elemen penting dalam pencerobohan berskala penuh Ukraine yang dilancarkan Russia pada Februari 2022.
Moscow menyatakan ia berusaha melemahkan keupayaan Ukraine untuk terus berperang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

