PM Anwar Santuni Pengamal Media Dalam Majis Berbuka Puasa Di Seri Perdana

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni tujuh pemuda hero Tasik Biru, Kundang pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Penggiat Media dan Pempengaruh di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 27 Februari 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 27 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menyantuni pengamal media dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang lengkap berbusana Melayu biru tiba kira-kira jam 6.50 petang meluangkan masa beramah mesra dan bertanya khabar serta menyantuni lebih 350 tetamu yang hadir selain bersama mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan penceramah terkenal, Ustaz Haryanto Rizal.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah serta barisan pimpinan organisasi media cetak dan elektronik serta pempengaruh media sosial.
Pada majlis sama, seramai 10 pengamal media termasuk veteran yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup memerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA usaha membantu meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Sumbangan disampaikan oleh Fahmi sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan wacana negara.
Anwar turut menyantuni tujuh pemuda hero Tasik Biru yang bertindak terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu serta dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Tasik Biru, Kundang, Rawang pada 23 Februari lepas.

Majlis diraikan Perdana Menteri ini diadakan bersempena Ramadan bagi menyatakan sokongan padu beliau terhadap pengamal media yang sentiasa memberikan liputan dan perkembangan terkini kerajaan dan agensinya kepada masyarakat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
