Seorang Lemas, Aktiviti Mandi-Manda Bertukar Tragedi

Kolam di mana mangsa ditemui mati lemas semasa aktiviti mandi-manda bersama tujuh rakannya yang lain.
MIRI, 2 Mei – Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian di sebuah kolam di kawasan Kuah Tiri, berhampiran Lorong Desa Senadin 2C-1 di sini, tengah hari Jumaat.
Mangsa yang dikenali sebagai Jackson Mara, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.04 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 11.16 pagi, didapati mangsa dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi bersama tujuh rakan lain.
“Kesemua rakan mangsa dilaporkan selamat, namun mangsa hilang di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan menggunakan teknik pencarian di permukaan air di sekitar kawasan kejadian.
Mangsa akhirnya ditemui pada jam 12.15 tengah hari di dasar kolam pada anggaran kedalaman 10 kaki, katanya.
Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa ke permukaan sebelum memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.06 petang.
Turut berada di lokasi kejadian ialah enam anggota polis dan tiga petugas KKM.
Oleh Clare Cinderella
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

